Firma guaman yang mewa­kili kerajaan Malaysia dan 1MDB, Tan Rajah & Cheah dalam satu kenya­taan menjelaskan, wang yang diperoleh itu membabitkan pelbagai mata wang dengan nilai keseluruhan kira-kira S$15.3 juta (RM46 juta).

“Wang tersebut dipindahkan ke sebuah akaun perolehan khas 1MDB di Kuala Lumpur.

“Usaha untuk mengesan aset-aset lain yang diselewengkan (daripada syarikat itu) juga sedang dilaksanakan,” jelas kenya­taan itu di sini hari ini.

Pada Julai lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia me­lantik firma guaman Tan, Rajah & Cheah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap 53 individu dan syarikat bagi menun­tut wang milik 1MDB.

Menurut sumber itu, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Singa­pura terhadap 53 defendan termasuk ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low bagi mendapatkan perintah untuk mendapatkan semula wang milik 1MDB.

Jelas sumber itu, Thomas te­lah mengadakan pertemuan de­ngan Peguam Negara Singapura, Lucien Wong untuk memudahkan pemulangan wang 1MDB yang telah dibekukan oleh pihak berkuasa Singapura.

Pada Mei lalu, Pasukan Khas Siasatan 1MDB dalam satu kenya­taan memberitahu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk bekerjasama bagi membawa pulang sejumlah wang kepada kerajaan Malaysia yang dipercayai telah diseleweng daripada 1MDB.

Jelas pasukan itu, kerjasama antara kedua-dua pihak juga bertujuan bagi mengumpul bahan bukti serta mengesan saksi-saksi di Singapura secepat mungkin.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, selain Singapura, kerajaan berusaha mendapatkan balik wang yang masih ada di Switzerland, Amerika Syarikat dan mungkin juga di Luxembourg, dengan jumlah yang agak besar dianggarkan AS$4.5 bilion berada di Amerika Syarikat.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, dalam perkembangan berkaitan, firma guaman tersebut berkata, jumlah S$15.3 juta yang diperoleh itu adalah fasa pertama dalam usaha berterusan untuk mendapatkan kembali dana ber­kenaan.

“Proses pemerolehan masih diteruskan dan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat pada masa yang sesuai.

“Berjuta-juta lagi (wang) dijang­ka diperoleh semula bila tiba masanya,” menurut kenyataan itu.

Firma berkenaan menegaskan. oleh sebab proses siasatan dan pemerolehan sedang berjalan, adalah tidak wajar untuk mendedahkan butiran lanjut pada pe­ringkat ini.

Kesemua wang yang diperoleh itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank pemerolehan 1MDB, yang diwujudkan khas bagi tujuan menerima dana yang dise­leweng itu, tambah kenyataan itu.