Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan berkata, malah, Dr. Maszlee Malik juga telah memberi penjelasan bahawa langkah pembatalan langganan akhbar Utusan Malaysia itu adalah sebahagian daripada langkah penjimatan.

"Pengeluaran memo di peringkat pegawai dalam soal ini (pembatalan langganan akhbar Utusan Malaysia) saya rasa tidak patut menteri  tahu.

"Yang patut menteri tahu ialah apabila arahan dikeluarkan dan tanggungjawab kami dan pegawai untuk laksanakan. Arahan menteri memang jelas dan kita laksanakan arahan itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Maszlee mendedahkan beliau tidak tahu-menahu mengenai sebarang kenyataan yang dikeluarkan kementeriannya untuk menghentikan langganan terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Namun katanya, kerajaan ketika ini dalam keadaan berjimat-cermat dan tidak memerlukan lagi langganan akhbar kerana rakyat kini boleh membaca berita menerusi dalam talian.

Sebelum itu, surat pekeliling pembatalan bertarikh 18 Julai yang ditandatangani Wan Saiful tular dalam media sosial setelah ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas. 

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mengesahkan mengeluarkan surat pekeliling pembatalan langganan akhbar Utusan Malaysia itu.

Sementara itu, ketika ditanya adakah langkah sama akan diambil terhadap akhbar lain, Wan Saiful memberitahu, sememangnya ada perbincangan mengenainya namun masih belum ada sebarang keputusan.- UTUSAN ONLIN