Menurut Wan Maimunah atau nama sebenarnya Wan Maimunah Abdul Aziz, dia dihantar terus ke hospital semalam ketika mengalami masalah pernafasan sewaktu melawat rumah adiknya di Gadek.

Keadaan pelakon yang mesra membahasakan diri sebagai ibu itu juga masih dalam fasa pemulihan apabila beliau sendiri mengakui tidak mampu untuk bercakap banyak kerana belum pulih sepenuhnya.

"Ibu nak cakap pun tidak larat, minta maaf. Tadi ada doktor cakap, terdapat masalah pernafasan dan paru-paru sebab semalam ada sedikit pemeriksaan X-Ray, ada sedikit ternampak jangkitan.

"Mestilah mahu pulih. Orang kata, kekuasaan Allah, Allah mahu uji kita, agaknya ada benda yang kita dan Allah mahu kejutkan kita. Kita tetap syukur dengan apa yang diberi," katanya ketika ditemui di hospital tersebut di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, Wan Maimunah pernah dimasukkan ke Hospital Jasin akibat bengkak jantung dan jangkitan kuman dan telah pulih sepenuhnya daripada penyakitnya itu pada tahun 2016.

Sementara itu, pelakon berusia 64 tahun itu juga menyatakan rasa syukurnya apabila menerima panggilan mahupun pesanan daripada para peminat dan ahli keluarga meskipun tidak mempunyai akaun laman sosial.

"Ibu menerima lebih daripada lima WhatsApp (aplikasi) yang ibu dapat daripada Mekah. Antaranya daripada peminat, anak angkat ibu punya adik-beradik, saudara-mara pun ada, Alhamdulillah.

"Ibu tiada (laman sosial) Facebook, tiada Instagram, tetapi bila ada orang yang masukkan benda (pesanan) macam ini, orang mendoakan. Tidak dapat ziarah pun tidak mengapa kerana doa pun dah seribu rahmat, hanya Allah sahaja yang akan balas segala-galanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang telah berlakon lebih daripada 10 buah filem antaranya Wanita Bertudung Hitam, Jimi Asmara, Soalnya Siapa dan KL Gangster itu dilihat masih mampu untuk berseloroh bersama ahli keluarga dan rakannya yang melawatnya hari ini. - UTUSAN ONLINE