Menurut Timbalan Perdana Menteri, media memainkan peranan penting sebagai jurubicara dan jurucakap kepada kerajaan.

Beliau berkata, semua pihak terutama rakyat mempunyai harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk membangunkan negara selepas hampir setahun pilihan raya umum berlalu.

“Mata pena lebih tajam daripada mata pedang, apa yang kita tulis ada baik dan buruknya.

“Kita boleh mengkritik tetapi lihat juga fakta. Kita boleh persoal, (kerajaan) ada juga kekuatan,” katanya berucap dalam Majlis Hi-Tea bersama media di Dewan Bangsawan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,

Datuk Dr. Rose Lena Lazemi.

Menurut Dr. Wan Azizah, kerajaan sentiasa menghargai peranan media terutama dalam pendedahan skandal 1MDB dan salah urus kewangan oleh kerajaan terdahulu sehingga ada syarikat media ditarik lesen dan pekerja mereka terpaksa diberhentikan.

Justeru katanya, majlis yang diadakan petang ini merupakan manifestasi kerajaan dalam menghargai sumbangan media tempatan.

“Kita tahu media hendak menjual akhbar dan sebagainya, tetapi kena seimbang dalam apa sahaja yang disajikan kepada pembaca dan penonton,” katanya.

Dr. Wan Azizah turut meluangkan masa beramah-mesra bersama lebih 200 pengamal media tempatan yang menghadiri majlis itu.

Beliau turut menyertai media bermain permainan seperti congkak, batu seremban, dart dan karom serta menyampaikan hadiah cabutan bertuah. - UTUSAN ONLINE