MOHD. NORHIESAM ISMAIL
MOHD. NORHIESAM ISMAIL 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, peruntukan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan ketika ini hanya 96 jam minimum setahun dan tambahan 32 waktu untuk tasmik.


Ujarnya, bagi sekolah menengah kebangsaan pula, peruntukan bagi mata pelajaran itu hanya 128 jam setahun.


Tegas beliau, waktu yang diperuntukan itu amat kurang berbanding keperluan kepada pelajar hari ini sekali gus tidak wajar untuk dikurangkan.


“Tidak sedarkah hari ini permasalahan sosial, keruntuhan akhlak, kebobrokan rumah tangga dan kecelaruan diri dalam kalangan pelajar Islam semakin meruncing. 


“Ini ditambah dengan cabaran zaman modenisasi dan teknologi maklumat tanpa sempadan yang mana agama adalah perisai besar untuk menangani masalah ini. 


“Persoalannya, apakah akan terjadi sekiranya waktu pembelajaran Pendidikan Islam mahu dikurangkan?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Mohd. Norhiesam berkata, cadangan mengurangkan waktu mata pelajaran Pendidikan Islam juga tidak selari dengan hakikat yang mana ramai pelajar Melayu tidak boleh membaca al-Quran meskipun ketika memasuki sekolah menengah. 


“Sepatutnya Pendidikan Islam diperkasa, bukannya dianggap hanya mata pelajaran, kerana inilah subjek yang menjadi keperluan kepada pelajar Islam dan lebih berguna berbanding dengan subjek sebagai ilmu fardu ain,” katanya. - UTUSAN ONLINE