Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Da­lam Per­khid­matan Awam (CUE­PACS), Datuk Azih Muda ber­kata, inisiatif itu secara tidak langsung dapat melatih penjawat awam untuk patuh pada arahan waktu kerja dan waktu minum masing-masing.

“Penjawat awam tiada masalah untuk ikut arahan baharu itu dan kami harap WBF ini dapat membantu mereka untuk bekerja dengan lebih amanah dan mengikut peraturan.

“CUEPACS juga tiada masalah jika tindakan tatatertib memotong gaji dan bonus penjawat awam yang tidak menjaga disiplin seperti lewat masuk ke pejabat kerana ia dapat memberi kesedaran terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah, dalam satu pekeliling kepada semua ketua setiausaha kementerian mengeluarkan arahan pelaksanaan WBF di semua kementerian dan jabatan Perseku­tuan di beberapa negeri.

Waktu pejabat akan bermula pada pukul 7.30 pagi sehingga 5.30 petang kecuali hari Khamis di Johor dan Terengganu, yang bermula pukul 7.30 pagi hingga 4 petang.

Pegawai yang memulakan tugas sebelum pukul 7.30 pagi akan dianggap memulakan tugas pada pukul 7.30 pagi.

Jelas Azih, Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) ada menggariskan waktu bekerja dari pukul 9 pagi hingga 6 petang untuk penjawat awam yang ingin masuk ke pejabat lewat sikit.

Kata beliau, waktu bekerja itu dirangka untuk golongan wanita bekerjaya yang perlu menguruskan rumah tangga dan anak-anak pada awal pagi.

“Tetapi hanya enam peratus yang masuk kerja pada tempoh tersebut, mungkin kerana pulang lambat atau tidak diluluskan ketua jabatan kerana hanya seorang yang bertugas,” katanya.