Titah baginda, pendedahan kepada syarikat-syarikat bersesuaian dari negara masing-masing untuk datang sendiri meninjau peluang-peluang pelaburan yang disediakan dalam bidang kepakaran serta keperluan masing-masing.

"Ini adalah kerana negara-negara berkenaan kebanyakannya tersohor dengan memiliki syarikat-syarikat serta produk berteknologi terkini dan tercanggih sejajar dengan ekonomi Revolusi Industri (IR) 4.0. dan berkeupayaan untuk memainkan peranan dalam memanfaatkan kelestarian pembangunan di negeri Perlis kelak.

"Perlis memerlukan lebih banyak pelaburan bagi membantu usahawan dan tenaga kerja tempatan dalam memperolehi pengetahuan bagi menyediakan produk-produk berimpak, berkualiti tinggi dan mampan," titah baginda.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri majlis santapan malam yang dihoskan oleh Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez di kediaman beliau di ibu negara malam tadi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Ketua Protokol Kementerian Luar, Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Datuk Rajasekaran Murugiah.

Untuk rekod, antara duta-duta besar yang melawat ke Perlis tempoh hari adalah dari Kesatuan Eropah sendiri serta Romania, Hungary, Croatia, Austria, Jerman, Perancis, Poland, Sepanyol dan Republik Czech (Charge De Affairs).

Tuanku Syed Faizuddin Putra sendiri telah berkenan berangkat mengetuai delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengadakan kunjungan ke ibu pejabat EU di Brussels, Belgium pada November tahun lalu. - UTUSAN ONLINE