MOHD. ALI RUSTAM
MOHD. ALI RUSTAM

Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, keputusan tegas kerajaan itu wajar dihormati oleh semua pihak dan lebih penting semua kementerian dan agensi kerajaan seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada Kabinet sebelum mengambil sebarang keputusan yang menyentuh soal bahasa Melayu.


Menurut beliau, sepatutnya semua pihak lebih sensitif berkaitan isu bahasa Melayu ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti dinyatakan dalam peruntukan di bawah Artikel 161 dan Artikel 152.


“Cukup jelas keputusan Kabinet menarik balik kelonggaran bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD14 satu langkah yang bijak dan tepat sekali gus memastikan kedaulatan bahasa Melayu terus dimemartabatkan serta diperkasakan di dalam pentadbiran negara.


“Kita tidak boleh bertolenrasi dengan mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan bahasa Melayu dan sepatutnya mereka lebih faham dengan peruntukan Artikel 161 dan Artikel 152 yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,’’ ujar beliau ketika dihubungi hari ini.


Mohd. Ali berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Kabinet semalam mengambil keputusan menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu pada peringkat SPM bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD 41.


Malah Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan jemaah menteri akan mencadangkan supaya Akta Perubatan 1971 dipinda untuk mewajibkan perkhidmatan Pegawai Perubatan selama dua tahun selepas tamat housemanship dan memasukkan syarat kelulusan bahasa Melayu.


Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan Kabinet dan ia turut menjadi pengajaran kepada kementerian dan agensi kerajaan kerana sebarang polisi yang ingin diubah berkaitan bahasa Melayu perlu dirujuk terlebih dahulu kepada jemaah menteri.-UTUSAN ONLINE