SHAHABUDIN
SHAHABUDIN

Ketua Jabatan Perhubungan Kolej Vokasional Seri Manjung, Shahabudin Hassan berkata, ia sekali gus selari pemerkasaan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

"Kini kita bekerjasama dengan Institute of Technical Education, Singapura dalam beberapa siri program latihan.

"Selain itu kita turut merancang pada tahun ini untuk menjalinkan kerjasama dengan institusi dari luar negara bagi mendedahkan pensyarah dan pelajar kepada corak pengurusan, pembelajaran dan teknologi pendidikan vokasional di peringkat antarabangsa. 

"Kita bukan hanya akan memberi tumpuan kepada pengisian dalam setiap kursus, malah akan bergerak ke arah kerjasama menyeluruh meliputi pengurusan, kurikulum, kokurikulum , kesenian serta inovasi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kementeriannya akan berusaha ke arah menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam tempoh lima tahun akan datang.

Maszlee turut berjanji untuk mencapai matlamat tersebut dalam tempoh lima tahun, dan berharap ia berjaya melalui kerjasama dengan pemain industri dan pakar TVET.

Dalam pada itu kata Shahabudin, pihaknya sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan sebuah institusi di Jawa Timur melalui kaedah pertukaran guru dan pelajar serta perkongsian pintar.

"Berbekalkan pengalaman itu, kita akan mengorak langkah lebih aktif untuk mendekati institusi-institusi dari negara-negara yang maju dalam bidang pendidikan vokasional," ujarnya.

TVET adalah antara elemen yang perlu dan penting dalam membentuk asas melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi serta mengukuhkan potensi negara bagi pertumbuhan masa depan.

Lawatan permuafakatan ini merupakan permulaan kepada kerjasama dalam meningkatkan kemahiran sukan, menggerakkan latihan bersama-sama pasukan bola sepak kedua-dua kolej dan melaksanakan aktiviti kebajikan dalam bentuk aktiviti sukan.

Di samping itu, aktiviti lain yang dijalankan adalah menyumbangkan jersi dan peralatan bola sepak kepada anak-anak yatim, golongan asnaf dan sekolah tahfiz.

Program seterusnya yang akan dijalankan adalah kunjungan balas ke Singapura yang bertujuan melihat kelangsungan sistem pembelajaran dan pengajaran di Institute of Technical Education, Singapura di samping memenuhi undangan perlawanan persahabatan bola sepak dan menimba pengalaman yang akan diperoleh di sana. - UTUSAN ONLINE