Rata-rata berpendapat pembayaran itu harus dibuat sebagai tanggungjawab sebagai peminjam dan tidak harus dijadikan polemik politik.

“Peminjam perlulah bersikap matang dan tidak pentingkan diri sendiri dengan menuntut janji PH (Pakatan Harapan) sebagai jalan mudah untuk melarikan diri daripada membayar pinjaman yang telah dibuat.

“Sekiranya mereka tidak melunaskan pinjaman yang dibuat perkara itu akan memberi kesan yang buruk kepada anak-anak muda yang akan melanjutkan pelajaran di peringkat universiti,” kata seorang peminjam PTPTN Muhammad Ruzaini Razak, 23.

Senada dengan Muhammad Ruzaini Razak, seorang wartawan pelatih, Nurin Wahidah Khalid, 22, berkata PTPTN adalah satu tanggungjawab yang peminjam perlu selesaikan bukannya melarikan diri.

“Itu adalah tanggungjawab seorang penghutang untuk membayar balik pinjaman yang mereka telah ambil semasa zaman belajar.

“Menuntut janji PH itu memang perkara yang betul untuk dilakukan kerana itulah yang dijanjikan oleh pihak kerjaan tetapi dalam masa yang sama mereka perlu langsaikan hutang mereka walaupun bayaran dibuat secara ansuran,” ujarnya semasa ditemui oleh Utusan Online di sini hari ini.

Sementara itu, wartawan Ifqdar Rahman, 37, berkata pinjaman dibuat atas persetujuaan kedua-dua pihak jadi tiada alasan bagi peminjam untuk tidak membayar balik pinjaman dibuat.

“Saya sendiri mengharapkan kerajaan PH menunaikan janji mereka tetapi dalam masa yang sama saya masih lagi membayar pinjaman PTPTN walaupun dalam jumlah yang sikit,” katanya. - UTUSAN ONLINE