Sampah-sarap yang bersepah, terbiar di merata tempat itu menyebabkan Kompleks Kotaraya, Jalan Pudu dan Pasar Seni yang sering menjadi tumpuan orang ramai pasti dipenuhi sampah-sarap apabila warga asing membanjiri kawasan berkenaan sempena cuti umum Aidiladha.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati warga asing yang bekerja di sini seperti tidak melepaskan peluang membanjiri ‘kekosongan’ bandar raya ini untuk mereka melepak bersama kaum kerabatnya terutama di sekitar ibu kota seperti Pasar Seni, Kompleks Kotaraya, Bukit Bintang untuk pelbagai aktiviti.

Tinjauan mendapati mereka dengan selamba membuang sampah sarap seolah-olah tidak takut dengan peraturan yang ditetapkan untuk menjaga kebersihan di ibu kota.

Lebih menjijikkan apabila kelihatan tompokan air kunyahan sireh di kawasan-kawasan tertentu di kawasan mereka melepak, malah dengan selam golongan berkenaan menjual sireh tersebut yang dianggap ‘manisan’ di bahu-bahu jalan.

Keadaan tersebut membuatkan keadaan menjadi lebih sesak selain dengan bau yang kurang menyenangkan daripada sampah-sarap yang bertaburan di sekitar jalan.

Seorang warga tempatan, Rizal Abdul Rahman, 45, berkata, kawasan sekitar Jalan Pudu akan dipenuhi warga asing setiap kali musim cuti umum, tempat tersebut dijadikan ‘perhentian’ untuk mereka bertemu dengan rakan-rakan.

“Keadaan di sini bukan sahaja dipenuhi kumpulan mereka tetapi turut dipenuhi dengan plastik minuman yang dibuang merata-rata dan ini mencemarkan pemandangan.

“Sakit mata memandang sampah-sarap yang banyak terkumpul dan kesan kunyahan sirih selepas mereka melepak sepanjang malam. Kejadian serupa berlaku setiap kali perayaan Hari Raya atau hari-hari kelepasan am,” katanya yang juga pemandu teksi.

Sementara itu, seorang lagi warga tempatan Raizan Azmi, 38, berkata, kesan ludahan tersebut ‘merosakkan’ pemandangan tempat-tempat tumpuan malah kekurangan pemantauan pihak berkuasa sempena cuti umum seolah-olah memberi ‘muka’ kepada warga asing untuk terus bermaharajalela kerana tahu tiada serbuan dan pemantauan dilakukan.

“Sepatutnya pihak berkuasa kita perlu membuat pemantauan yang lebih tegas dan tidak membiarkan golongan warga asing terus bermaharajalela di negara kita, lagipun kelompok mereka semakin ramai menjadikan mereka semakin berani,” katanya.

Tegasnya, pihak berkuasa sepatutnya menugaskan beberapa petugas untuk memantau perlakuan warga asing tersebut supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Warga Nepal pula yang hanya dikenali Arakam berkata, dia malu dengan sikap rakan-rakan yang tidak ‘tahu’ menjaga diri ketika ‘menumpang’ di negara ini dan semakin terbuka melanggar peraturan yang ditetapkan di negara ini.

“Saya sentiasa memberi nasihat kepada kawan supaya menjaga kebersihan terutama apabila secara sengaja meludahkan air kunyahan sireh di tepi-tepi bahu jalan, yang dianggap tidak bertanggungjawab,” ujarnya yang hampir lima tahun menetap di negara ini.

Katanya, walaupun perbuatan meludah itu adalah perkara biasa di tanah airnya namun mereka menghormati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan di negara ini, lagipun perbuatan tersebut akan menyebabkan kawasan menjadi kotor selain mudah dijangkiti penyakit,” ujarnya.