Malah, walaupun dia dilahirkan dalam negara haram Israel, namun itu tidak menghalangnya untuk menyelar tindakan yang dilakukan oleh rejim zionis terhadap penduduk Palestin yang dianggapnya sebagai suatu kekejaman dan kezaliman.

Menurut wanita yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan ketika remaja itu, sejak usia muda lagi dia sudah mempertahankan hak asasi penduduk Palestine.

Tegas wanita yang kini bermastautin di Sepanyol itu apa yang dilakukannya kini adalah satu bentuk jihad menegakkan keadilan atas nama kemanusian.

“Saya telah melihat pelbagai kekejaman yang dilakukan oleh tentera dan kerajaan rejim zionis terhadap penduduk Palestin. Mereka menghalau dan merobohkan rumah yang dibina oleh penduduk Palestin hanya untuk memberikan penempatan kepada pendudk Yahudi.

“Begitupun saya dan keluarga masih lagi mampu untuk berfikir secara waras dan tidak mematuhi arahan yang diberikan dan saya terus berjuang bersama penduduk Palestin untuk menuntut hak mereka sejak dari usia muda lagi,” ujarnya dalam kunjungannya ke ibu pejabat Utusan Melayu (Berhad) di sini hari ini.

Menurut Zohar antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dia ditahan dan disoal siasat kerana menyertai misi kemanusiaan flotilla Julai lalu kerana dianggap sebagai menyertai pergerakkan pengganas.

“Saya pulang ke tanah air untuk mengundi tapi ditahan di lapangan terbang dan di bawa ke balai polis untuk di soal siasat seakan saya pengganas hanya kerana menyertai dan memperjuangkan hak penduduk Palestin,” ujarnya.

Zohar berharap agar rakyat keturunan Yahudi berubah serta sedar akan kesilapan yang mereka lakukan di Palestin selain prihatian terhadap keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.

“Mereka bukannya tidak tahu mereka bersalah dalam hal ini tetapi mereka lebih suka untuk mendiamkan diri dan membutakan mata mereka.

“Rakyat rejim zionis lebih suka untuk tidak masuk campur dalam urusan seperti ini dan tidak mengambil apa-apa tindakan. Saya rasa sangat malu dengan sikap mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE