Video oleh LOKMAN HAKIEM ABD. SAMAD

Tinjauan Utusan Online mendapati sewaktu maskot Upin dan Ipin serta rakan-rakannya membuat kemunculan di pentas utama, kanak-kanak yang hadir begitu teruja dan tidak henti bersorak gembira di samping mengikut gerak tarian yang dilakukan.

Selain maskot tersebut, kemunculan watak-watak animasi Pada Zaman Dahulu, Puteri, DaDuDiDo serta Ultraman Ribut turut memberikan seribu satu makna apabila anak-anak kecil bagaikan terpegun dan senyuman terukir di bibir ibu bapa masing-masing.

Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (LCP) dalam satu kenyataannya berkata, karnival yang dianjurkan ini bukan sahaja ditunggu-tunggu peminat Upin & Ipin malah persembahan dan kandungannya sentiasa berubah-ubah mengikut kemajuan yang dicapai.

"Karnival ini bukan hanya untuk kanak-kanak semata-mata kerana aktiviti untuk remaja seperti e-sport dan pameran penaja untuk dewasa turut disediakan.

"Dalam erti kata lain, karnival ini sesuai untuk dilawati seisi keluarga bagi mengisi waktu lapang pada hujung minggu ini sekali gus dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan," katanya.

#UpinIpinLuarBiasa turut mempamerkan replika sebenar rumah opah, Alam Dino dan Magik Pin Pin Pom serta teknologi dan gerak kerja penghasilan sesuatu animasi selain memberi peluang kepada pengunjung untuk uji bakat suara animasi.

Karnival bermula dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan maklumat lanjut seperti jadual aktiviti dan bayaran masuk boleh didapati melalui laman sesawang Facebook Upin & Ipin. - UTUSAN ONLINE