Mempunyai dua orang anak orang kurang upaya (OKU), Norita berkata, hadiah kemenangan sebanyak RM1,000 itu merupakan rezeki anak-anaknya dan berjanji akan menggunakannya sebaik mungkin bagi membantu suaminya menampung perbelanjaan keluarga.

“Saya pernah menang hadiah percutian sebelum ini daripada Utusan Malaysia. Alhamdulillah hadiah kali ini mungkin rezeki anak-anak, untuk perbelanjaan sekeluarga.

“Hari ini saya bawa kelima-lima anak kerana ada yang OKU dan saya tak boleh nak tinggalkan. Anak pertama berumur 15 tahun macam lembam dan yang kedua berusia 12 tahun. Doktor kesan memang ada Sindrom Down, ada masalah usus sampai sekarang tidak boleh bercakap. Duit ini untuk perbelanjaan anak-anak sebab suami seorang sahaja yang kerja,” katanya.

Norita merupakan salah seorang daripada 20 pemenang bertuah bagi kategori bulanan untuk hadiah pertama dan kedua Siri A Edisi 1 #UMenangsakan yang menerima wang tunai masing-masing berjumlah RM1,000 dan RM500 yang disampaikan oleh Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkifli Hamzah dan Pengurus Besar di Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan, Azlan Naim Abdullah di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Peraduan yang bermula 1 Februari lalu itu terbahagi kepada dua kategori iaitu peraduan bulanan dan peraduan bonanza yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM555,000 termasuk tiga buah kereta dan 85 hadiah sampingan termasuk mesin ba­suh, televisyen, peti sejuk, te­lefon bimbit, jam tangan dan wang tunai.

Sementara itu, Abdul Ibrahim, 42, pula berkongsikan petua bagaimana cara untuk memenangi sebarang peraduan yang dianjurkan oleh mana-mana syarikat dan organisasi tempatan.

Guru di salah sebuah sekolah di Terengganu itu berkata, beliau merupakan salah seorang daripada individu yang suka menyertai mana-mana pertandingan yang dianjurkan dan pernah menang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, motosikal dan telefon bimbit.

“Biasanya banyak yang saya menang berbentuk slogan. Satu lagi saya hias sikitlah untuk menarik perhatian juri. Macam pertandingan ini saya akui ada buat hiasan sikit pada borang itu. Kalau bentuk slogan saya fokus kepada lenggok bahasa, sebagai guru bahasa Melayu saya kena titik beratkan permainan bahasa untuk menarik perhatian juri.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Pemenang yang merupakan warga emas, Salmah @ Maino Md. Sab, 72, berkata, ini merupakan kali pertama beliau memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh akhbar Utusan Malaysia.

Beliau yang merupakan pembaca tegar akhbar berpengaruh di negara ini berkata, pada awalnya dia menyuruh anaknya menyertai pertandingan #UMenangsakan tetapi mereka tidak mahu dan kemenangan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Adalah masuk (pertandingan) lain tetapi tidak pernah menang. Saya masuk pertandingan ini kerana melihat peluang itu ada. Lagipun saya memang pembaca Utusan sejak dahulu lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Musa Dun, 53, berkata pertandingan seperti #UMenangsakan baik untuk pembaca kerana dapat memberikan mereka peluang mencungkil idea-idea baharu.

“Pada saya bila kita baca akhbar Utusan Malaysia, kita tahu sebenarnya antara hala tuju laporan itu dan menjadikan saya antara pengikut utama akhbar ini sejak dari bangku sekolah lagi.

“Akhbar ini banyak membantu saya dalam peluang-peluang dahulu masa saya mencari pekerjaan, saya mendapat informasi yang membantu karier dan kerjaya. Sumber-sumber ini membantu saya,” katanya. - UTUSAN ONLINE