Ketika UPSR kini tinggal lebih kurang 37 hari lagi, penajaan akhbar sisipan sebanyak 13,000 naskhah itu diharapkan dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan persediaan sebanyak 207 calon UPSR sekolah itu termasuk tiga calon Program Pembelajaran Khas Inklusif (PPKI).

Abdul Shukor berkata, penajaan itu juga diharapkan dapat membantu meningkatkan lagi prestasi murid-murid sekali gus dapat menterjemahkannya kepada keputusan cemerlang dalam UPSR tahun ini.

“Saya menaja Tutor kepada sekolah-sekolah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) ini setiap tahun dan pada kali ini SK Kuang terpilih. Inilah sumbangan atas keprihatinan terhadap pendidikan anak-anak di kawasan ini.

“Saya berharap penajaan akhbar ini dapat menambahkan lagi pengetahuan dan daya fikir calon UPSR serta membantu sekolah mencapai keputusan cemerlang sekali gus dapat melonjak serta melahirkan insan-insan berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan tajaan Tutor kepada Guru Besar SK Kuang, Siti Fatimah Mat Hassan di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Norizan Nordin.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Sementara itu, Siti Fatimah berkata, Tutor merupakan salah satu alat bantu mengajar yang menambah pengetahuan murid dalam pelbagai aspek termasuk bentuk soalan UPSR.

Kata beliau, kepelbagaian medium ulang kaji merupakan galakan dan tarikan kepada murid-murid untuk belajar kerana dalam Tutor menyediakan kepelbagaian soalan bergambar, warna yang mendorong mereka tertarik untuk mengulangkaji.

“Ini merupakan tahun ketiga sekolah ini menerima tajaan Tutor dari pelbagai pihak termasuk ADUN Kuang dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim). Oleh itu, kami mensasarkan seramai 35 murid daripada 207 calon mencapai keputusan cemerlang 6A dalam UPSR tahun ini.

“Untuk itu, kami gunakan Tutor kepada murid-murid yang masih belum mengusai subjek-subjek UPSR. Akhbar ini banyak membantu calon-calon UPSR dalam membuat ulang kaji peperiksaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE