Meskipun menerima hakikat itu, namun para pendeposit berharap agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat fokus dalam mengurus dan memperkasakan Tabung Haji selain tidak lagi terus menyalahkan kerajaan terdahulu.

Bagi mereka, Tabung Haji adalah satu-satunya institusi yang umat Islam ada dan boleh bergantung harap.

Pendeposit, Ruselee Izan, 62, dari Sungai Baru di sini berkata, dia menyimpan duit di Tabung Haji sejak 2008 dan tidak menduga pemberian hibah pada tahun ini sebegitu rendah.

Katanya yang dijangka dapat menunaikan haji tahun depan, tidak adil menjadikan punca kegagalan pengurusan terdahulu sebagai alasan kerana sebelum ini para pendeposit menerima dividen yang tinggi setiap tahun.

 

Video oleh Mohd. Hafiz Abd. Mutalib

"Kita berasa dukacita dan kecewa sebab dalam kalangan orang Islam mereka cukup berharap Tabung Haji sebagai salah satu tempat untuk melabur sama ada yang pergi haji atau tidak.

 

"Orang Islam menaruh harapan yang tinggi terhadap Tabung Haji, jangan kecewakan kami di saat kepentingan orang Melayu dan Islam dilihat mula dipinggirkan sedikit demi sedikit di era Malaysia baharu ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang petani, Razali Saad, 54, berkata, sekiranya situasi ini berterusan, tidak mustahil para pendeposit khususnya yang telah menunaikan haji akan mengeluarkan wang simpanan masing-masing kerana hilang kepercayaan terhadap institusi tersebut.

"Kita juga berharap kerajaan PH berhenti menuding jari terhadap kerajaan terdahulu. Sebelum ini pendeposit menikmati kemudahan dan hibah yang tinggi. Kalau dua tiga bulan kita boleh terima, ini sudah masuk setahun memerintah masih salahkan kerajaan lama seolah-olah cuba menutup kelemahan sendiri," katanya.

Pesara kerajaan, Rosli Mahmood, 68, pula berkata, dia sudah menjangkakan perolehan hibah tahun ini kurang memberangsangkan iaitu kira-kira tiga peratus, tetapi tidak menyangka rupanya lebih rendah.

"Melihat kepada perkembangan ini, tidak mustahil subsidi menunaikan haji yang dinikmati oleh rakyat turut akan ditamatkan selepas ini. Mereka yang menyimpan ini bukan orang senang, ada petani, penoreh yang terpaksa bertungkus lumus mencari duit untuk dilaburkan di Tabung Haji. Apabila hibah yang diberikan terlalu rendah, ia menghampakan," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Halijah Mahmod, 76, pula berharap agar pengurusan Tabung Haji yang baharu dapat melaksanakan tugas dengan baik kerana institusi tersebut adalah kebanggaan orang Melayu Islam di negara ini.- UTUSAN ONLINE