Biarpun sering disajikan dengan berita kemalangan maut kerana melanggar lampu isyarat, itu nampaknya masih belum cukup membantu mencelikkan mata hati mereka-mereka yang hanya sekadar mementingkan diri.

Hendak segera ke tempat kerja, tidak perasan lampu isyarat bertukar merah dan sebagainya merupakan alasan klise yang sukar diterima kerana sikap tidak bertanggungjawab golongan ini bukan sahaja boleh mendatang musibah kepada diri sendiri, malah kepada pengguna jalan raya yang lain.

Tinjauan Utusan Malaysia di dua buah jalan utama ibu kota, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut mendapati kekerapan penunggang motosikal melanggar lampu isyarat adalah sekitar 10 minit sekali dengan kebanyakan daripadanya adalah golongan belia.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya yang lain menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut bagi mengelakkan daripada berlakunya kemalangan.

Peniaga, Siti Hajar Abdul Hamid, 55, berkata, kebanyakan penunggang motosikal tidak mengambil ikhtibar daripada kemalangan maut yang lepas demi memastikan mereka dapat tiba ke destinasi masing-masing secepat mungkin.

“Selalunya mereka ini tak ambil kisah sangat. Lampu merah pun dia jalan. Kita kalau pejalan kaki nak melintas kena tengok betul-betul dan menunggu beberapa saat dahulu sebab jika tidak kemungkinan untuk dilanggar penunggang motosikal adalah besar.

“Saya dan suami pernah lihat sendiri kejadian seperti itu di hadapan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek. Ini yang membimbangkan. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan segera, bagi mereka ini takut sedikit, baharulah beringat,” katanya di sini, baru-baru ini.

Terbaharu, seorang penunggang motosikal maut selepas gagal mengelak kereta di hadapannya dalam kejadian di Kilometer 20.5, Lebuh Raya Damansara-Puchong, dekat Puchong Ahad lalu natijah daripada melanggar lampu isyarat merah.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Rizalman Nordin, 44, memberitahu, penguatkuasaan undang-undang sedia ada tidak mencukupi mendorong penunggang motosikal untuk lebih berani melanggar lampu isyarat merah.

“Tindakan atau hukuman sedia ada saya rasa tidak cukup. Sepatutnya mereka ini dikenakan tindakan lebih tegas supaya kemalangan maut yang berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab penunggang motosikal ini dapat dikurangkan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE