Demikian kata-kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak merupakan bapa Ainul Mardhiah iaitu bayi yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan lidah di United Kingdom (UK) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menurut beliau, anaknya berusia 11 bulan itu berada dalam keadaan baik sepanjang 12 jam penerbangan dari London, United Kingdom (UK) ke tanah air.

“Alhamdulillah, Ainul sihat. Semua ok, selamat sampai, tiada sebarang masalah di atas pesawat.

“Terima kasih kepada semua yang menunggu di sini dan juga terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan Ainul, Alhamdulillah kami selamat sampai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kata Ahmad Safiuddin lagi, Ainul Mardhiah selepas ini akan dibawa dengan menaiki ambulan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, Ainul Mardhiah bersama ibu bapanya, Ahmad Safiuddin, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 23, tiba di sini pada pukul 7.15 pagi dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH0003.

Ainul Mardhiah telah berada di London, UK lebih dua bulan sejak Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani membawanya ke London sejak 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’.

Penerbangan pulang Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Datuk Dr. Jaseemudeen Abu Baker serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr. Gunalan Arumugam.

Mereka meninggalkan Hospital Great Ormond Street untuk menaiki pesawat yang berlepas jam 11 pagi waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow ke Malaysia.

Ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun lalu selepas menjalani pembedahan kira-kira lima jam di hospital itu.

Pembedahan itu dilaksanakan oleh sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof. Dr. David Dunaway.

Selepas pembedahan berkenaan, Ainul Mardhiah yang awalnya memiliki berat 2.5 kilogram (KG) ketika tiba di London menunjukkan perkembangan baik di samping beratnya bertambah sehingga 3.1KG.

Penderitaan Ainul Mardhiah sebelum ini mendapat perhatian orang ramai yang menyumbang sehingga RM4 juta bagi membolehkan bayi itu diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan.

Malah kisah itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kesempatan melawat Ainul Mardhiah ketika mengadakan lawatan kerja ke UK, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE