Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof.  Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, perpaduan dan keharmonian kaum merupakan isu penting yang mesti diperjuangkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama.

“Dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu hati, kita semua perlu bertolak ansur dan  menghormati pegangan agama dan adat resam orang lain kerana ia merupakan inti pati merintis ke arah perpaduan kaum yang menjadi tulang belakang negara kita selama ini.

“Kepimpinan masyarakat pula disarankan agar sentiasa berpandangan jauh serta merangka program yang boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama dengan harapan perpaduan dan sikap toleransi antara kaum sentiasa subur di negara ini,” katanya ketika berucap dalam program wacana ilmuan 'Negaraku Malaysia: Di mana, Ke Mana Kita?' di sini hari ini.

Wacana ilmuan sempena sambutan Hari Malaysia 2017 merupakan program untuk menghubungkan para ilmuwan dengan lapisan masyarakat dalam meningkatkan semangat dan menyebarluaskan semangat patriotisme di kalangan lapisan masyarakat menerusi program  wacana ilmuan, dialog dan persembahan puisi.

Program yang julung-julung kali diadakan melibatkan kerjasama daripada beberapa pihak termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pewira).

Menurut Dr. Raduan, agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati, Malaysia dapat membina sebuah negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan dan negara aman, politiknya tidak huru-hara, serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur asing.
 
“Rakyat harus sedar hanya melalui perpaduan pembangunan negara dapat terus dikekalkan dan ini bukan sahaja khas untuk generasi muda, tetapi juga seluruh peringkat masyarakat.Jangan gadaikan masa depan negara hanya kerana perbalahan sesama sendiri."ujarnya.

Menurutnya, rakyat di negara ini harus berbangga kerana pelbagai persatuan dan pertubuhan tampil mengambil inisiatif untuk menyuburkan perpaduan di negara ini.

“Golongan sasaran pula harus ditumpukan kepada kaum remaja yang merupakan generasi pelapis masa hadapan kerana kegagalan kita mendidik golongan ini dengan semangat kekitaan akan menyumbang kepada keruntuhan nilai sosial dan akhlak di kalangan generasi muda,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE