Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa universiti tersebut, Prof. Dr. Mohd. Rafi Yaacob berkata, Siber Media telah memberikan pendedahan yang amat berguna mengenai perkembangan dunia media pada hari ini kepada pensyarahnya melalui bengkel yang diadakan selama tiga hari bermula kelmarin.

Beliau berkata, pemahaman mengenai media amat penting bagi membantu golongan akademik untuk menyampaikan hasil penyelidikan dan pandangan mereka kepada orang ramai.

“Pensyarah adalah pakar dalam sesuatu bidang namun kadang kala mereka sukar untuk menyampaikannya kepada orang ramai. Media konvesional seperti akhbar, televisyen dan radio mempunyai keupayaan untuk menyampaikan suatu perkara dengan bahasa yang mudah, cepat dan tepat untuk difahami oleh orang ramai.

“Jadi ini pentingnya pendedahan seperti ini supaya mereka dapat memahami serta dapat menyampaikan maklumat yang boleh difahami oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas Bengkel Pengurusan Media di Bangunan Canselari UMK di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Siber Media Sdn. Bhd., Ainol Amriz Ismail.

Mohd. Rafi berkata, perkembangan dunia hari ini juga menyebabkan lahirnya ‘wartawan jalanan’ yang melaporkan pelbagai perkara namun kadang kala melampaui batas.

“Ini pentingnya jika mereka mengetahui apa itu media supaya maklumat yang disampaikan tidak melampaui atau melanggar etika.

“Seluruh warga UMK menjadi duta kecil kepada UMK untuk menyampaikan maklumat dan melalui bengkel ini kita dapat melihat bagaimana wartawan menggunakan satu gajet sahaja untuk melakukan semua perkara dan tidak melanggar etika,” katanya.

Tambahnya, bengkel tersebut akan diperluaskan kepada kakitangan pentadbiran dan juga pelajar pada masa depan. - UTUSAN ONLINE