Video oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Mereka dilihat tidak berputus asa mengikut sama membaca ayat-ayat suci al-Quran yang diketuai imam persatuan tersebut, Khairul Ehsan Abdullah.

Majlis itu bermula dengan solat duha secara berjemaah, penyampaian sumbangan pakaian raya kepada kanak-kanak dan seterusnya bacaan ayat suci al-Quran bermula pukul 12 tengah hari.

Seorang peserta, Aisah Ehdin Abdullah, 33, berkata, dia memeluk Islam sejak dua tahun lalu dan mula mempelajari pelbagai perkara mengenai agama tersebut termasuk belajar membaca al-Quran.

Katanya, dalam tempoh dua tahun ini dia mengikuti kelas mengaji al-Quran bersama suami selain mempelajari asas fardu ain.

"Alhamdulillah, daripada tidak kenal huruf, saya sudah boleh membaca ayat-ayat suci al-Quran meskipun tidak lancar. Sejak memeluk Islam hati saya sentiasa tenang," katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Seorang lagi peserta, Aminah Ch'ng Abdullah, 49, berkata, pada peringkat awal pelbagai kesukaran dihadapi ketika proses belajar al-Quran, namun atas kesabaran dan usaha gigihnya dia sudah mampu membaca dengan baik.

Malah, ibu kepada lima anak itu sudah beberapa kali khatam al-Quran selepas memeluk Islam 28 tahun lalu.

"Saya mendapat hidayah memeluk Islam selepas bermimpi seorang ustaz mengajar mengucap kalimah syahadah. Atas nasihat dan pandangan rakan-rakan, saya akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam," katanya yang berasal dari Pasir Puteh.

Sementara itu Pengerusi MACMA negeri, Johari Yap Abdullah berkata, matlamat pihaknya adalah ingin melihat semua ahli berdamping dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.