Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, perkara tersebut disahkan oleh syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang forensik berpangkalan di Indonesia yang tidak boleh didedahkan.

Dakwanya, laporan setebal 18 halaman itu tidak boleh diterbitkan kepada umum kerana merupakan satu kesalahan dan berikutan itu ia akan diserahkan kepada pihak polis dan ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

“Tujuan analisis video ini dibuat adalah untuk menilai dan menganalisis fail video yang disediakan dan menentukan sama ada kandungan video mentah telah sengaja disunting atau pun diubah.

“Setelah dianalisis, pakar analisis mendapati pelakon mata berkelip secara normal. Maknanya Azmin dan juga Haziq (Haziq Abdullah Abdul Aziz) telah mengelip mata secara normal, maknanya dia tak nampak sebarang unsur bahawa wajah mereka itu telah diubah suai dan ianya secara normal dan sangat semula jadi,” dakwanya dalam rakaman video yang dimuat naik dalam laman sosial YouTube, semalam.

Sebelum ini, bekas Ketua Angkatan Muda keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan bersumpah bahawa beliau terlibat dalam video seks luar tabii berkenaan.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, bagi membolehkan pasukan forensik membuat kajian beliau telah menyerahkan dua video seks intim yang tular sebelum ini, 20 keping gambar milik Mohamed Azmin dan 12 video lain.

Beliau juga mendakwa, dapatan dari pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyatakan mereka gagal mengecam siapa pelaku adalah tidak benar sama sekali.

“Dengan bukti yang dikemukakan pada hari ini jelas menunjukkan bahawa Ketua Polis Negara kita telah pun menipu kita rakyat Malaysia,” dakwanya.

Utusan Online masih berusaha mendapatkan komen Mohamed Azmin manakala Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador enggan mengulas.– UTUSAN ONLINE