Perdana Menteri berkata, beliau yakin atlet negara akan berjuang habis-habisan bukan kerana wang ringgit tetapi untuk maruah diri dan pasukan bagi mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa.

“Jika Malaysia pernah menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik pada temasya sebelum ini, saya tidak nampak mengapa kontinjen kita pada kali ini tidak boleh mengulangi kegemilangan tersebut pada 2018 atau melakukan sesuatu yang lebih baik daripada itu.

“Saya yakin kontinjen kali ini amat berkemampuan mencatatkan kejayaan yang lebih bermakna. Insya-Allah.

“Ini kerana kita juga mempunyai atlet bertaraf dunia seperti Al Jufferi Jamari (silat), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Wong Weng Soon (wushu) dan tidak kurang hebatnya pasukan boling wanita dan skuad hoki lelaki kita,” katanya ketika ber­ucap dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia di Dataran Putra di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Dr. Mahathir menyempurnakan penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada Chef de Mission Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dengan turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta barisan menteri-menteri Kabinet.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan Asia adalah pada edisi di Guangzhou, China tahun 2010 apabila kontinjen negara menduduki kedudukan ke-10 keseluruhan menerusi pungutan sembilan pingat emas, 18 (perak) dan 14 (gangsa).

Sukan Asia ke-18 Jakarta-Palembang 2018 yang akan berlangsung dari 18 Ogos sehingga 2 September ini bakal melibatkan seramai 426 atlet dan 147 pegawai dari kontinjen Malaysia untuk bertanding dalam 35 daripada 40 jenis acara sukan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut mengingatkan kontinjen negara terhadap semangat juang para atlet semasa Sukan Komanwel di Kuala Lumpur 1998 yang mencatatkan pencapaian membanggakan untuk menduduki tangga keempat keseluruhan.

“Semangat atlet kita pada masa itu yang memenangi pi­ngat emas antaranya Sapok Biki (tinju), Hidayat Hamidon (angkat berat), G. Saravanan (lumba jalan kaki) dan Nurul Huda Baharin (menembak) tidak berbelah ba­hagi untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Selain itu, Dr. Mahathir berkata, walaupun jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak dapat menyertai temasya sukan di Indonesia itu kerana kecederaan, semangat juangnya selama ini akan menjadi pemang­kin kepada atlet kontinjen negara.

“Kilauan pingat yang diraih bukan datang hasil daripada kerja mereka di gelanggang sahaja, tetapi turut menuntut keringat, sokongan serta doa ahli keluarga, jurulatih, penyokong dan masyarakat yang menjadi tonggak harapan dalam detik-detik mencabar,” katanya.