Beliau yang menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam tiba pada kira-kira pukul 9.50 pagi dan hanya beredar pada kira-kira pukul 10.45 malam.

“Saya ok. Alhamdulillah...,” ujarnya ringkas sebaik sahaja selesai memberi keterangan.

Rosmah yang memakai baju kurung dan tudung berwarna hijau hadir bagi memberi kete­rangan buat kali kedua kepada SPRM selepas pertama kali dipanggil pada 5 Jun lalu.

Beliau diiringi peguamnya K. Kumaraendran.

Selain itu, antara turut dilihat hadir memberi sokongan kepada Rosmah adalah Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Semalam, sumber membe­ritahu, Rosmah akan dipanggil lagi oleh SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes SRC International Sdn. Bhd., bekas subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 5 Jun lalu, Rosmah telah memberi keterangan selama lima jam kepada SPRM berhubung perkara tersebut.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara sama ada untuk mendakwa Rosmah atau sebaliknya.

“Siasatan terhadap kes (1MDB) telah selesai. Saya tidak bo­leh kata ya (mendakwa Datin Seri Rosmah) atau tidak,” katanya sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang ha­ram.