Berikutan itu, permohonan tersebut telah dibantah oleh peguam, S. Devanandan yang mewakili Abdul Azeez berasaskan alasan bahawa Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM sejak siasatan terhadapnya dijalankan selepas serbuan di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengannya pada 23 Mei lalu.



Menurut Devanandan, peruntukan yang terpakai bagi siasatan berkenaan sepatutnya di bawah Seksyen 49 Akta SPRM 2009 dan bukan permohonan reman di bawah Sek­syen 117 Kanun Tatacara Jenayah, namun hujah tersebut ditolak oleh mahkamah.

Bagaimanapun katanya, pi­haknya akur dengan keputusan mahkamah.

“Kita bantah sekeras-ke­ras­nya hujah pihak Timbalan Pendakwa Raya SPRM memandang­kan alasan-alasan tersebut tidak kukuh dan Abdul Azeez tidak perlu berada dalam penahanan untuk pihak SPRM selesaikan tindakan-tindakan siasatan yang perlu diambil.

“Mereka mengatakan bahawa mereka perlu membuat semakan dan perbandingan rakaman percakapan saksi-saksi lain dengan rakaman percakapan Abdul Azeez bagi memastikan sama ada terdapat sebarang percanggahan atau tidak.



“Kami berpendapat bahawa Abdul Azeez tidak perlu ditahan untuk mendapatkan penjelasan kerana beliau sanggup hadir di SPRM pada bila-bila masa untuk membolehkan mereka menyelesaikan siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Selain itu, Devanandan mem­beritahu, pihak pendakwaan berhujah bahawa pegawai pe­nyi­asat perlu membuat semakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tentang aset Abdul Azeez sama ada telah diisytihar dan dibayar cukai, namun pihaknya menyatakan perkara itu boleh dilakukan tanpa penahanan anak gu­amnya.

Hari ini, Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap Abdul Azeez, abangnya dan sepupu mereka setelah ketiga-tiganya dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan digari.

Semalam Abdul Azeez ditahan di Ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 11.15 pagi ketika hadir untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya ber­kenaan.

Abang Abdul Azeez me­rangkap Pengurus Besar sebuah syarikat pengurusan hartanah ditahan pada pukul 11.30 pagi pada hari yang sama di Su­ngai Buloh, Selangor manakala sepupu mereka yang meme­gang jawatan sebagai Pengarah Syarikat ditahan pada pukul 5.30 petang di Ibu pejabat SPRM.

Prosiding tahanan reman dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman manakala ketiga-tiga suspek itu turut diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Moha­med Yunoos.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan dalam pelbagai kes rasuah termasuk projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).