Video oleh AZRAN FITRI RAHIM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kehadiran ribuan rakyat tanpa mengira ideologi politik ke Majlis Mesra Raya Aidilfitri di Dataran Rehal di sini menjadi manifestasi kepada kebersamaan kedua-dua belah pihak itu.

Lebih membanggakan kata beliau, rakyat yang hadir ke majlis itu turut berkumpul beramai-ramai menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin yang berterusan ditindas tentera Israel dengan insiden terbaharu, melibatkan penutupan Masjid Al-Aqsa.

“Apabila kita bersama-sama memakai selempang sokongan terhadap Palestin, ini sebenarnya satu bentuk sokongan daripada semua pihak iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan rakyat.

“Biarpun kerajaan Persekutuan dan negeri berbeza pegangan politik, hari ini kita mampu bersama dan menyatukan pandangan kerana ia melibatkan kepentingan ummah,” katanya ketika berucap dalam majlis yang dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung tersebut.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Pe­nerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat.

Terdahulu di lokasi sama, orang ramai diketuai pergerakan Pemuda UMNO Kelantan berkumpul secara aman selepas selesai solat Jumaat di Masjid Muhammadi bagi menzahirkan bantahan terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin yang dilakukan oleh Israel.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, kesepakatan ditunjukkan hari ini merupakan kesinambungan terhadap persefahaman yang telah lama wujud, sekali gus mengulangi semula solidariti pelbagai pihak ketika mendepani isu Rohingya tahun lau.

“Saya menyeru umat Islam di seluruh negara supaya meneruskan usaha mengutuk kekejaman dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin,” katanya.