Perkara itu dijelaskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan hanya menetapkan salah satu syarat supaya Proton mempunyai rakan strategik sebagai ‘jalan keluar’ kepada masalah dihadapi syarikat itu sehingga tidak mampu membayar vendornya.

Katanya, kerajaan pada ketika itu perlu memberi ‘soft loan’ bernilai RM1.5 bilion serta geran kajian dan penyelidikan kira-kira RM1.2 bilion kepada Proton untuk membantu syarikat pengeluar kereta tersebut.

“Salah satu syarat kita kata Proton perlu ada syarikat rakan strategik. Bila ada rakan strategik, kita tahu masa depan terjamin, cumanya kerajaan (ketika itu) tidak beritahu siapa.

“Tidak kira Peugeot ke, Geely ke, Renault ke, Volkswagen ke, terpulang kepada Proton. Yang pilih Geely ini ialah Proton, boleh tanya pada Proton, mereka yang pilih, mati-matian mahu Geely, bukan keputusan saya mahu syarikat China atau apa,” katanya.

Beliau berkata demikian seperti dipetik daripada rakaman video ketika berbual dengan beberapa penduduk dan ahli UMNO ketika mengunjungi Tanjung Malim, Perak kelmarin serta dimuat naik ke dalam laman Facebook beliau, hari ini. - UTUSAN ONLINE