Sejak semalam, lebih satu tan udang putih dan harimau dijual kepada pengunjung dengan potongan separuh harga berbanding harga pasaran sehingga menyebabkan gerai jualan diserbu orang ramai.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, dianggarkan sekitar satu tan udang harimau dijual semalam sementara itu pada hari ini jabatan berkenaan menawarkan sebanyak setengah tan udang putih hidup di pusat jualan mereka.

Katanya, pada hari terakhir esok, Jabatan Perikanan akan menjual hampir setengah tan udang harimau berkualiti tinggi lagi yang memenuhi standard antarabangsa.

“Ini sudah tentu memberi peluang kepada pengunjung menikmati udang segar pada potongan separuh harga. Kebiasaanya udang harimau dijual RM60 sekilogram tapi kali ini kita jual RM30 sekilogram sementara ketika ‘happy hour’, harga kita kurangkan kepada RM25 sekilogram.

“Sambutan terhadap jualan udang di sini sangat bagus dan disebabkan itulah kita hadkan seorang pengunjung boleh membeli sekilogram sahaja. Bukan hanya penduduk tempatan berminat malah dari pengunjung dari luar sanggup datang lebih awal untuk membeli udang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online ketika program jualan udang putih hidup di GNN 2017 di sini hari ini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Lebih 70 acara disediakan buat pengunjung khususnya nelayan yang datang dari seluruh negara dan program ini bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok. - UTUSAN ONLINE