Menerusi portal sehenti ber­kenaan, orang ramai boleh me­­nyemak termasuk melaporkan beri­ta-berita yang diterima menerusi kiriman mesej, blog atau media sosial kepada portal berkenaan di pautan www.sebenarnya.my.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, portal yang diba­ngunkan SKMM itu merupakan an­tara satu usaha kerajaan untuk mengekang penularan laporan palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang sahih.

“Berita yang diterima akan dikumpulkan, dianalisis dan di­semak oleh pihak terlibat serta seterusnya dimuat naik dalam portal ini untuk rujukan rakyat Malaysia.

“Usaha ini tidak terhenti setakat itu, sebaliknya kita akan terus memantau, mengumpul dan mengemas kini maklumat berita palsu yang disebar bagi memastikan masyarakat mempunyai sumber rujukan terkini dan tepat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan portal sebenarnya.my di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.

Dalam pada itu, Salleh mendedahkan, SKMM mengenal pasti hampir 1,000 berita palsu berkaitan kepentingan awam telah tular di negara ini sekali gus dilihat masalah besar kepada tanah air kerana boleh menggugat keselamatan.