Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 9.20 pagi, dua lelaki berusia 37 dan 40 tahun ditahan di tempat letak kereta sebuah kondominium di sini.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian dalam kereta jenis BMW dinaiki suspek menemukan dua bungkusan dadah jenis syabu seberat 2.1 kilogram dan 2,000 biji pil eramin 5.

“Kejayaan menumpaskan sindiket itu hasil intipan yang dibuat sejak dua bulan lalu.


“Dadah yang dirampas dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur untuk dipasarkan di negeri ini dan polis masih mengesan empat lagi ahli sindiket ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berasal dari Jinjang masing-masing mempunyai empat dan lapan rekod jenayah lampau.

Beliau menjelaskan, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

Katanya, polis turut merampas pelbagai mata wang bernilai RM5,000 daripada kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 24 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.