Selain Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin dunia lain yang tiba hari ini ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.



Video Oleh MOHD RIDZWAN IMAN

Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev, Perdana Menteri China, Li Keqiang, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in merupakan antara 20 pemimpin lain yang turut menghadiri sidang kemuncak kali ini.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Clark dekat sini pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan dengan disambut Duta Besar Malaysia di Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid .

Dari pihak Filipina, pegawai Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Catalino Salandanan menyambut ketibaan rombongan Perdana Menteri yang tiba dari Vietnam selepas menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di negara itu.

Anggota delegasi Malaysia mengiringi Najib di sidang kemuncak ASEAN kali ini, termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Program pertama Najib adalah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe, sebelum menghadiri majlis makan malam gala khas yang diadakan bersempena ulang tahun ke-50 ASEAN.

Bertemakan ‘Per­kong­­sian meng­hadapi perubahan, menghadapi cabaran dunia,’ Pre­siden Filipina, Rodrigo Roa Duterte akan mempengerusikan sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN yang bermula secara rasmi esok.

Dalam persidangan kali ini, pemimpin-pemimpin ASEAN dijangka membincangkan pelaksanaan wawasan ASEAN 2025, hala tuju baharu dalam usaha rantau ini membina komuniti yang bersepadu, aman, stabil dan berdaya tahan.

Sidang juga akan memberi peluang kepada pemimpin negara-negara anggota bertukar-tukar pandangan mengenai masa depan kerjasama rantau ini dan juga hubungannya dengan rantau luar.

Isu-isu serantau dan antarabangsa se­perti pertikaian di Laut China Selatan, konflik di Semenanjung Korea, keganasan dan kumpulan ekstrem serta ekonomi digital siber adalah topik utama yang akan dibincangkan.

Sidang Kemuncak ASEAN +1 juga akan diadakan dengan Malaysia akan memainkan peranannya sebagai negara penyelaras Dialog Perhubungan ASEAN-Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat melalui Presiden Trump dijangka berkongsi wawasan bagaimana untuk kekal memainkan peranan penting dalam kerjasama ekonomi di rantau ini selepas menarik diri dari pakatan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) baru-baru ini. – UTUSAN