Video oleh HASNURUL MOHAMED

Kelompok artis tanah air turut sama-sama melakukan usaha mereka di mana sebelum ini papa rock kesayangan tanah air, Datuk Ramli Sarip pernah membuat persembahan bagi membantu rakyat Rohingya.

Kini tiba pula giliran kumpulan legenda tanah air, Damasutra mengadakan persembahan bagi mengisi tabung untuk mangsa-mangsa Rohingya.

Berjalan seiringan dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Insaf, pada 17 Disember ini nanti, bertempat di kelab eksklusif Hard Rock Cafe (HRC) Kuala Lumpur akan mengadakan persembahan showcase, 'Live Music' Amal: Damasutra - Air Mata Rohingya selama satu jam, bermula pada pukul 3 petang.

Pada majlis yang diadakan bagi menguar-uarkan persembahan showcase tersebut, vokalis Damasutra, Baggio memberitahu, lagu yang diperdengarkan 26 tahun lepas diangkat menjadi lagu tema, Air Mata Rohingya.

"Kami tidak pernah menyangka lagu ciptaan Awang BPR, lirik yang ditulis oleh allahyarham Mama Juwie, Impianku digunapakai menjadi lagu tema, Air Mata Rohingya.

"Ertinya lagu Damasutra ada manfaatnya dan dengan panjangnya usia kita, berkonsep kecintaan, kemanusiaan dan berbagai rencah kehidupan, saya bersama-sama dengan anggota kumpulan Damasutra yang lain iaitu Alok, Assu dan Amran kami akan mempersembahkan lagu-lagu hits Damasutra pada 17 Disember ini nanti," kata Baggio yang juga artis solo dibawah pengurusan Padi Records Sdn. Bhd.

Menyedari keterbatasan ruang di HRC Kuala Lumpur yang mampu menampung kehadiran para peminat dan pengikut kumpulan Damasutra, kutipan hasil daripada penjualan tiket RM65 yang dikenakan untuk menyaksikan persembahan Damasutra tidak mungkin boleh menghampiri sasaran RM1 juta.

Bagaimanapun, penjualan baju t eksklusif Damasutra berharga RM50 sehelai besar kemungkinan boleh digabungkan dengan penjualan tiket untuk menonton persembahan yang disasarkan antara RM70,000 sehingga ke RM80,000.

Oleh itu, jelas Baggio, sambil berhibur dan menggamit kembali momen-momen indah peminat Damasutra, bolehlah menderma dengan membeli tshirt eksklusif yang dicetak khas untuk persembahan 'Live Music': Damasutra - Air Mata Rohingya.

Dalam majlis yang sama petang ini, Pengasas dan juga Presiden Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir berkata, hasil kutipan kelak akan digunakan untuk membeli set solar bagi menerangi rumah dan masjid di kampung-kampung yang menempatkan pelarian Rohingya.

"Berdasarkan pengalaman saya yang pernah melawat kawasan kampung yang dihuni oleh pelarian Rohingya di Bangladesh, mereka hidup dalam kegelapan kerana tiada bekalan tenaga elektrik yang dapat disalurkan di penempatan mereka.

"Cuba kita bayangkan kita bergelap setiap hari selama 12 jam dengan anak kecil. Jadi saya merasakan elok sekiranya penempatan pelarian ini diberikan set solar yang seunit berharga RM250," katanya.

Kata Ishak lagi, pihaknya berhasrat untuk membeli 30 unit set solar untuk diagih-agihkan kepada rumah-rumah pelarian Rohingya dan 30 masjid di sana. - UTUSAN ONLINE