Video oleh FARID JANUDIN

Seramai 217 orang yang mewakili PPNT dan PPK serta kakitangan yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahmani  berikrar untuk terus berkhidmat dengan jujur dan dedikasi dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Majlis menandatangani dan melafazkan IBR itu disaksikan oleh Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Terengganu, Zainal Ayob. Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Abdul Mubin Abdul Razak.

Ketika berucap dalam majlis itu, Zainal amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh pengurusan PPNT untuk memastikan sebarang unsur gejala rasuah tidak berlaku dalam organisasi itu.

"Diharapkan ikrar yang dilafazkan itu benar-benar tersemat dalam hati dan menjadi pelindung agar tidak mudah terjebak dengan unsur rasuah yang boleh menjejaskan organisasi dan individu sendiri," ujarnya.

Terdahulu, Wan Zakaria berkata, IBR itu adalah untuk memastikan pengurusan PPNT dan PPK di seluruh negeri ini bebas daripada rasuah, dan organisasi dapat bergerak dan berperanan dengan berkesan bagi kepentingan negeri dan warga petani.

"Malah kami berazam untuk bekerja dengan jujur dan ikhlas bagi menjalan tugas yang diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab dalam mengembangkan hasil pertanian di samping membantu meningkatkan ekonomi petani," ujarnya.

Beliau yakin semua anggota pengurusan PPNT dan PPK tentunya dapat menghayati ikrar dan perjanjian yang dilafaz dan ditandatangani agar tidak berlaku gejala rasuah yang boleh mencemarkan organisasi dan menjejaskan maruah diri. - UTUSAN ONILNE