Video Oleh AMIRUL AIMAN ANUAR

Kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga di sini, sementara menanti keputusan laporan keselamatan men­diami kediaman itu pada Jumaat ini.

Pengerusi Bencana Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman berkata, penelitian dilakukan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilakukan pada kesemua 114 buah tiang konkrit bangunan lima tingkat tersebut.

Beliau yang merangkap Pegawai Daerah Hulu Langat berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 18 tiang mengalami masalah struktur yang menyebabkan keretakan dan besi konkrit tiang berkarat.

“Sepanjang pemantauan yang dilakukan dalam tempoh 24 jam bermula semalam, laporan menunjukkan tiada perge­rakan tanah yang berlaku.

“Berdasarkan pemerhatian dan ujian yang dilaksanakan, keadaan besi konkrit yang berkarat itu sudah berlaku sejak beberapa minggu dan keputusan lanjut berhubung keselamatan menduduki bangunan itu akan dapat diketahui pada Jumaat ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, mangsa daripada 20 buah keluarga akan dipindahkan ke Dewan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Seksyen 2, Bangi di sini, manakala 18 buah keluarga memilih untuk berpindah ke penempatan sendiri.

“Terima kasih kepada agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dike­rahkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Blok 4, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Jubli Pe­rak, Md. Sharuddin Md. Yatim berkata, kesan retak pada tiang yang disedari sejak beberapa minggu lalu menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk.

“Namun pada petang sema­lam keadaan tiang seperti sema­kin teruk apabila struktur tiang mula pecah dan jatuh ke lantai,” katanya.