Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Branding Worlwide, V. Shashikanth berkata, pihak Kementerian Kesihatan telah mengesahkan kejadian tersebut adalah diakibatkan keracunan methanol yang terkandung dalam satu daripada arak diminum mangsa.

“Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad telah membuat pengesahan tersebut pada Rabu lalu dan jenama bir Kingfisher bukan satu daripada punca kematian mereka.

“Kami amat kesal kerana dikaitkan dengan kejadian menyedihkan ini namun dalam masa sama bersimpati kepada mangsa dan keluarga mereka,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Menara Safuan di sini hari ini.

Menurut Shashikanth, sebagai syarikat pengeksport rasmi bir Kingfisher ke 69 negara termasuk Malaysia, mereka bersedia membantu siasatan semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia dan juga kementerian terbabit.

“Kita juga telah membuat aduan berkenaan kemasukan bir tiruan jenama ini yang dikesan terdapat di negara ini pada Ogos lalu.

“Diharap pengguna dapat membezakannya memandangkan harga bir tiruan dijual jauh lebih murah berbanding yang tulen,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE