Mereka berhimpun di padang tersebut pada pukul 10 pagi dengan mengangkat sepanduk dan mengumpul batu penanda lot sebagai simbolik bantahan.

Wakil penduduk kampung itu, Che Awang Ismail, 53, berkata, penduduk kecewa dengan langkah pihak tersebut kerana lot seluas kira - kira lebih dua hektar itu adalah padang permainan dan tempat penduduk menjalankan aktiviti sosial sejak 35 tahun lalu.

“Kami menyedari penukaran status tanah itu apabila tiga kumpulan juru ukur dari pejabat berkenaan menjalankan proses pecah lot sejak tiga hari lalu.

“Juru ukur terlibat memaklumkan tanah berkenaan akan dipecahkan sebanyak 20 lot bagi pembinaan rumah semi-D,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Che Awang berkata, penduduk turut menjemput wakil PTJ untuk memberi taklimat yang lebih tepat sebelum piket diadakan, namun tiada pegawai yang hadir.

Beliau berkata, satu memorandum bantahan yang ditandatangani semua penduduk akan dihantar kepada Ketua Jajahan dalam tempoh yang terdekat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim ketika dihubungi berkata,  penduduk di kawasan itu sebenarnya salah faham terhadap usaha yang dilaksanakan oleh pihak yang terlibat.

Menurutnya, kerja ukur semula tanah dijalankan bagi penyediaan lokasi hospital Islam Tok Bali dan tapak untuk pemindahan Sekolah Kebangsaan Tok Bali yang terlibat dengan pembangunan pelabuhan serta sebahagian lagi adalah untuk projek perumahan rakyat setempat.

Katanya, rezab padang bola seluas 0.92 hektar tetap disediakan.

“Saya anggap kes ini selesai kerana apa yang berlaku adalah salah faham penduduk terhadap usaha pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan Kampung Haji Wan Omar,” katanya. - UTUSAN ONLINE