Muhd. Rizq Abdul Aziz, 32, memilih untuk berkongsi klip video dirinya menerangkan tentang tulisan Jawi yang kini bukan lagi hanya untuk orang Melayu, sebaliknya sudah menjadi warisan negara yang perlu dipelihara seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit serta agama.

Menariknya tentang klip berdurasi 5 minit 9 saat tersebut, pemuda lepasan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hwa Kota Bharu itu bertutur dalam bahasa Mandarin yang fasih bagi menyuarakan pandangan peribadinya.

Dalam klip sama, Muhd. Rizq turut bercakap dalam bahasa Melayu, bahasa Melayu loghat Kelantan serta bahasa Arab sebagai 'bukti' bahawa identiti asal sebagai anak Melayu beragama Islam langsung tidak terhakis biarpun dia pernah menuntut di sekolah aliran Cina.

"Saya nak tanya anda semua setuju tak dengan saya, kita semua orang Malaysia? Jika bersetuju, saya berpendapat kami juga sepatutnya bersetuju penulisan Jawi bukan warisan negara Thailand, China, Taiwan atau India.

"Penulisan Jawi ini adalah warisan Malaysia. Oleh yang demikian, siapakah yang bertanggungjawab menjaga warisan negara ini? Jawapannya ialah kita, rakyat Malaysia," kata Muhd. Rizq sebagaimana dipetik dalam klip video terbabit.

Video yang dimuat naik di akaun Facebooknya, 'Rizq Aziz' setakat ini telah meraih tontonan lebih 25,000 kali serta 706 perkongsian, dengan rata-rata warganet, termasuk kaum Cina memuji inisiatif pemuda itu dan ada antara mereka menyokong kerajaan memperkenalkan Jawi dan khat di sekolah vernakular.

Ketika dihubungi Utusan Online, Muhd. Rizq memberitahu, dia terpanggil untuk membuat penjelasan dalam bahasa Mandarin lengkap dengan sarikata dalam bahasa Melayu dan Inggeris supaya dapat ditonton semua pihak terutama masyarakat Cina bagi mengajak mereka berfikiran lebih terbuka dalam isu Jawi dan khat.

"Ini adalah pendapat dari kaca mata seorang anak Melayu yang pernah belajar di sekolah aliran Cina, yang pernah mempelajari bahasa, budaya, tulisan serta kaligrafi Cina bertahun-tahun lamanya.

"Walaupun dalam tempoh lama, saya tidak mempunyai halangan mengekalkan identiti sebagai seorang Melayu Muslim serta masih mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu termasuk loghat Kelantan, bahasa Inggeris, bahkan bahasa Arab juga," katanya.

Muhd. Rizq memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Sivil dalam Bahasa Inggeris, Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah dalam Bahasa Arab serta Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbankan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dia pernah berkhidmat sebagai peguam dan pensyarah di UIAM di samping aktif mengajar bahasa Mandarin secara sambilan.

Cicit kepada Mufti Kelantan pada 1968-1987, iaitu Dato Mohd. Noor Ibrahim itu sedang mengikuti pengajian sepenuh masa di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Undang-Undang Perbankan Islam di UIAM. - UTUSAN ONLINE