Majlis penyampaian hadiah peraduan tersebut berlangsung hari ini di Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini.

Peraduan yang dianjurkan selama 13 bulan oleh Kumpulan Utusan menerusi dua akhbar terbitannya iaitu Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga mencecah 10,000 penyertaan.

Mohd. Norazmin berkata, dia bersyukur dan gembira apabila dimaklumkan memenangi hadiah utama tersebut kerana sebelum ini dia pernah menyertai peraduan itu namun gagal.

“Walaupun tiada rezeki sebelum ini, namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menyertai peraduan #UMenangsakan kerana saya merupakan pembaca setia Utusan Melayu.

“Setiap hari saya akan membeli akhbar ini kerana berita yang disampaikan telus dan menjurus kepada berita itu sendiri, tiada unsur-unsur lain,” katanya dalam majlis tersebut.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad berkata, Peraduan Bonanza #UMenangsakan Edisi Kedua yang bermula pada Februari lalu merupakan antara penghargaan pihak Utusan Melayu kepada pembaca-pembaca setia.

“Sokongan pembaca amatlah penting bagi memastikan kelangsungan hidup Utusan Melayu dan Mingguan Malaysia selain produk-produk yang dikeluarkan.

“Diharap komitmen daripada para pembaca akan berterusan dan siri bulanan serta bonanza peraduan ini akan terus meningkat,” ujarnya.

Majlis penyampaian hadiah tersebut turut menyaksikan 31 orang lagi pemenang Peraduan #UMenangsakan Bonanza Edisi Kedua.

Antara hadiah yang dibawa pulang termasuklah tiga unit televisyen Pensonic 40 inci, tiga unit telefon pintar jenama Huawei dan 25 unit jam tangan Ice Watch. - UTUSAN ONLINE