Raja Amirul Mukmin Raja Safari, 13, yang mendapat keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada mulanya enggan untuk meneruskan persekolahan ke sekolah berasrama penuh (SBP) tersebut kerana tidak mahu menyusahkan keluarga­nya yang kini tinggal dalam reban ayam organik yang telah diubah suai sejak lima tahun lalu.

Wan Hassan berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah bersetuju untuk membina sebuah rumah yang lebih selesa untuk keluarga tersebut dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, panel penilai bantuan rumah Maik bersama Penghulu Mukim berkenaan, Mohd. Zulkifli Salleh pun melawat kediaman tanpa bilik milik keluarga tersebut.

“Peruntukan Rumah Duafat bagi keluarga berkenaan sudah dalam proses kelulusan Maik untuk dibina bagi tahun ini. Insya-Allah, akan dipercepatkan demi keperluan mereka anak beranak,” katanya di sini hari ini.

Video oleh TOREK SULONG

Raja Amirul yang cacat fizikal akhirnya bersetuju untuk meneruskan persekolahan di SMS Machang selepas mendapat so­kongan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Manak, Rosli Ismail.

Anak sulung daripada tiga beradik itu ha­nya bergantung kepada wang elaun khas Orang Kurang Upaya seba­nyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli barangan keperluan ke sekolah.

Sementara itu bapanya, Raja Safari Raja Ibrahim, 38, berkata. pendapatan beliau sebagai buruh kampung hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian keluarga tersebut.

“Alhamdulillah saya bersyu­kur kerana masih ada ikhtiar untuk berteduh dan membesarkan anak-anak walaupun tinggal dalam keadaan daif dengan membaik pulih reban ayam,” katanya.

Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan ikhlas kepada Raja Amirul boleh menghubungi Raja Safari di talian 01112919220 atau akaun Bank Simpanan Nasional 11118-29-00002302-4.