Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, menyedari hakikat bahawa sekolah sebagai pusat pem­belajaran, maka konsep pembelajaran dalam bilik darjah juga perlu bersifat ideal dan mampu berubah mengikut perkemba­ngan pendidikan semasa.

Menurutnya, perubahan itu termasuk reka bentuk pengajaran dan pemudahcaraan (PdP) yang mengambil kira aspek pedagogi, teori pembelajaran serta teknologi yang digunakan.

“Objektif utama kementerian adalah memberi penekanan terhadap suasana yang berlaku dalam bilik darjah bagi memastikan kua­liti kemenjadian murid selaras dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan pada abad ke-21.

“Jadi, sekiranya tiada sebarang peningkatan pembelajaran dan sahsiah dalam kalangan murid di bilik darjah, bermakna transformasi pendidikan itu tidak berlaku. Justeru, kesediaan guru amat penting dalam mengurus ruang pembelajaran tersebut secara optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembelajaran Abad Ke-21 Bersama Ikon yang dihadiri 500 guru tingkatan lima di Padang A, Angsana Mall Johor Bahru di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad serta Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Seminar yang diadakan sempena Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 anjuran Kementerian Pendidikan dan Kumpulan Utusan itu dikendalikan Penasihat Utusan Pelajar dan Tutor Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain, iaitu pakar yang membangunkan Sis­tem Reka Bentuk Pengajaran Kolaboratif (CIDS).

Dalam perkembangan sama, Khair menegaskan, PAK-21 bukan mengutamakan teknologi tetapi masih berpusat kepada murid-murid, iaitu belajar dan berlakunya interaksi sesama mereka dalam bilik darjah.

Katanya, teknologi dalam bilik darjah pula sebagai pengupaya untuk murid dan guru berkomunikasi dengan pihak luar dalam bertukar-tukar idea atau maklumat baharu.

“Jika dahulu guru mengajar di depan bilik darjah manakala murid mendengar dan belajar di tempat duduk masing-masing, tetapi PAK-21 ini adalah interaksi antara murid dengan guru dan sesama murid.

“Konsep ini membolehkan murid yang lemah dibantu oleh rakan mereka yang seterusnya menggalakkan komunikasi dan kerjasama sesama rakan sebaya termasuk bertukar idea. Jadi, tidaklah murid ini hanya mengharapkan buku teks, sebaliknya menggalakkan mereka melontarkan pandangan secara kreatif dan kritis,” katanya.