Mohammad Amerul Haziq Norazlizam, 18, yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperoleh 11A dalam peperiksaan awam tersebut.

Mohammad Amerul berkata, tidur awal dan bangun pada pertengahan malam adalah rahsia kejayaannya dalam memperoleh keputusan cemerlang tersebut.

“Sebulan sebelum SPM, saya akan tidur seawal pukul sembilan malam dan bangun pada pukul tiga pagi untuk solat di tengah malam dan ulang kaji pelajaran.

“Saya juga bernazar untuk menjalankan ibadat solat di tengah malam selama sebulan sekiranya berjaya memperoleh keputusan 9A dan ke atas dalam SPM,” katanya selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM dalam majlis penyampaian anugerah tersebut ke-28 di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Video oleh: FATIN FARHANAH SHAJAHAN

Majlis tersebut menyaksikan seramai 218 anak-anak warga ATM yang cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), SPM dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada tahun lepas menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, D. Claudyianalyn Davenie, 21, menjadikan ahli politik, Nurul Izzah Anwar sebagai idolanya untuk terus cemerlang dalam mencapai cita-citanya memperjuangkan kebajikan masyarakat.

“Walaupun saya tidak cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu, anugerah hari ini adalah hadiah buat kedua-dua ibu bapa saya. Ibu bapa mana yang tidak bangga melihat anaknya menerima anugerah kecemerlangan pendidikan seperti hari ini,” katanya yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dalam pada itu, bergiat aktif dalam sukan ragbi sehingga ke peringkat antarabangsa tidak menghalang Muhammad Mirza Hazani Mohd. Razif, 16, untuk memperoleh 8A dalam peperiksaan PT3 pada tahun lepas. 

“Belajar secara berkumpulan dan amalan rajin bertanya kepada guru, adalah faktor kepada kejayaan saya.

“Jujur saya cakap, saya bukanlah pelajar yang cemerlang dalam pendidikan namun usaha gigih dan dorongan ibu bapa menjadi penyuntik semangat untuk terus cemerlang dan menjadi seorang juruterbang suatu hari nanti,” katanya. - UTUSAN ONLINE