Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung laporan akan berlaku rombakan Kabinet.

Beliau juga menjelaskan bahawa pertukaran tersebut tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Perdana Menteri turut menjelasbahawa bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak akan dibawa masuk sebagai anggota Kabinet.

"Tak ada rombakan Kabinet, tak ada menteri baharu. Pertukaran portfolio belum lagi, kalau ada saya beritahu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama 1,500 pegawai kerajaan gred 41 hingga 48 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Ditanya kenapa khabar angin pertukaran kabinet kembali tersebar, Dr. Mahathir menjelaskan:

"Saya bercakap dengan Kabinet mungkin ada tukar sedikit portfolio, tapi belum ada.

"Tak ada rombakan Kabinet, mungkin ada pertukaran sedikit portfolio, itupun saya belum lakukan. Kalau nak buat saya bagi tahu."

Ditanya menteri mana yang terlibat dalam pertukaran, beliau enggan memberitahu dan akan memaklumkan kemudian.

Perdana Menteri turut menjelaskan tiada permintaan daripada mana-mana menteri untuk bertukar portfolio.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinet, Perdana Menteri menjelaskan, mereka kini lebih berkemampuan selepas lebih setahun dalam kerajaan. - UTUSAN ONLINE