Hari ini 17 Julai, sejarah tercipta apabila projek infra-rakyat bertaraf dunia Fasa Kedua SBK iaitu dari Semantan ke Kajang yang melengkapkan laluan itu menjadi realiti.

Komitmen itu direalisasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mengungkapkan janji untuk membina jaringan sistem pengangkutan awam bersepadu tujuh tahun lalu selepas mengambil alih pentadbiran negara yang telah dikotakan kepada seluruh rakyat.

Lebih membanggakan, projek mega itu mampu disiapkan dua minggu lebih awal, malah lebih rendah daripada bajet yang telah dibentangkan kerajaan sebanyak RM2 bilion daripada sasaran kos asal berjumlah RM23 bilion.

Bermula hari ini, tepat pukul 4 petang, kesemua 31 stesen bagi sistem rel yang paling moden dan terbaharu di dunia itu akan membuka pintu kepada seluruh rakyat dan pengguna pengangkutan awam di Malaysia.

Kira-kira 25,000 menjadi saksi pelancaran projek ‘dekat di hati’ Perdana Menteri itu iaitu satu lagi lonjakan berganda yang pas­tinya akan membawa perubahan kepada kehidupan warga kota dan keseluruhan rakyat Malaysia termasuk pelancong.

Laluan MRT SBK sepanjang 51 kilometer itu merangkumi 31 stesen bakal memberi manfaat kepada 1.2 juta rakyat Malaysia melibatkan 19 stesen dalam Fasa Kedua yang mana tujuh terletak di bawah tanah.

Kesemua 19 stesen berkenaan adalah Muzium Negara, Pasar Se­ni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman­ Midah, Taman Mutiara, Taman­ Connaught, Taman Suntex, Sri­ Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sebelas Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan Kajang.

Setiap tren SBK mempunyai empat gerabak membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penum­pang setiap perjalanan dengan penumpang harian dianggarkan seramai 400,000 orang.

Dianggarkan 160,000 ken­de­raan dijangka tidak lagi berada di atas jalan raya, sekali gus mengurangkan 752,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun yang akan memberi impak positif kepada alam sekitar.

Tren ini akan bergerak pada frekuensi 3.5 minit pada waktu puncak.

Tempoh perjalanan pastinya lebih menjimatkan berbanding penggunaan bas dari Sungai Buloh ke Kajang yang akan memakan masa dua jam setengah tanpa kesesakan lalu lintas.

Ini bererti pengguna terpaksa menghabiskan masa pergi-balik selama lima jam berbanding naik MRT yang hanya mengambil masa 88 minit.

Kos sara hidup rakyat pastinya dapat dikurangkan.

Penggunaan kereta contoh­nya, dengan kos minyak, tol, penyelenggaraannya sehala dari Sungai Buloh ke Kajang, kosnya lebih kurang RM54.

Jika menggunakan MRT, pengguna cuma membayar RM6.40. Rakyat boleh jimat terlalu banyak.

Fasa pertama projek MRT te­lah dapat memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat apabila 130,000 peluang pekerjaan ditawarkan termasuk 70,000 secara langsung.

Setakat ini di 31 stesen, 41 peluang perniagaan dibuka dan dijangka akan ditambah.

Kajang amat terkenal dengan ‘sate Kajang’. Di samping memberikan pendapatan berganda kepada penjual sate, penduduk sekitar Lembah Klang walaupun tinggal jauh di Sungai Buloh tidak lagi sukar atau terpaksa berfikir dua kali untuk menikmati juadah itu kerana kekangan perjalanan jauh dan kesesakan trafik. Naik MRT saja!