Lebih manis, kejayaan itu diraikan bersama anak keduanya, Aiman Nabillah Zulkafli, 27, yang turut menerima ijazah sarjana pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-41, di sini hari ini.

Mazlifah yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Sheffield pada 1984, berkata, minat yang sama untuk mencari ilmu membolehkan dia dan anaknya mengharungi cabaran alam pembelajaran bersama.

"Memang pada mulanya agak sukar (menyesuaikan diri), namun hasil dorongan anak dan suami, membuatkan saya menguatkan diri dan berjaya mengatasinya," kata Mazlifah.

Bagi anaknya, Aiman Nabillah Zulkafli, 27, pengalaman berada satu kelas dengan ibunya antara pengalaman menarik yang tidak mampu diperolehi oleh sesiapa pun.

"Saya sendiri amat teruja bila ada masanya saya berada dalam satu kelas dengan ibu. Pengalaman unik ini memang tak ramai akan lalui, dan saya rasa amat bertuah dapat melaluinya," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) ini.

Satu lagi pasangan unik yang turut menerima ijazah sarjana dalam bidang yang sama adalah pasangan adik beradik Yeap Ming Li dan Yeap Ming Liong.

"Bagi kami, ini merupakan satu kelebihan di mana hubungan adik-beradik mendorong kami untuk berusaha lebih baik dan mencapai kejayaan," kata Ming Liong, 28, yang bertugas sebagai eksekutif penyiaran.

"Sebagai adik, saya lebih melihat kepada kakak saya sebagai sumber inspirasi untuk pergi lebih jauh," tambah beliau.

Kakak Ming Liong, Ming Li, 30, berkata, rakan-rakan sekelas turut melihat mereka berdua sebagai unik dan 'comel'.

"Mereka turut mempunyai nama unik untuk kami berdua, adik saya, Ming manakala saya, Ming-sis," kata Ming Li, yang kini bertugas sebagai seorang eksekutif perbankan.

Apabila ditanya mengapa memilih UPM sebagai tempat melanjutkan pengajian sarjana mereka, Ming Liong berkata, beliau memilih UPM kerana menyukai aspek fizikal dan akademik termasuk tenaga pengajar di institusi pengajian itu. - UTUSAN ONLINE