MB nafi projek Forest City beri tak beri sumbangan
Osman Sapian

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, projek bernilai AS$100 bilion (RM410 bilion) itu dikatakan turut membawa masuk 700,000 orang dari Tanah Besar China untuk memiliki hartanah di Forest City.

“Kerajaan negeri menerima kira-kira RM630 juta dalam cukai dan premium tanah, termasuk pembayaran dividen sebanyak RM30 juta daripada projek Forest City, manakala kerajaan Persekutuan pula menerima cukai sebanyak RM309 juta termasuk cukai korporat, yuran dan levi.

“Berkenaan 700,000 penduduk warga asing akan tinggal di Forest City, anggaran ini tidak merujuk kepada warga asing khususnya dari China sahaja tetapi penduduk tempatan juga termasuk pelancong, profesional dan pelajar dalam tempoh 25 tahun akan datang apabila projek itu selesai,” katanya mengulas isu berkenaan di pejabatnya di Kota Iskandar di sini sebentar tadi.

Osman berkata, pemaju projek berkenaan, iaitu Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV) telah melabur kira-kira RM11.5 bilion dalam projek itu di Gelang Patah, dekat sini dan menganugerahkan kontrak bernilai RM1.4 bilion kepada 150 kontraktor tempatan.

“Syarikat itu telah menggunakan 1,545 pekerja untuk projek itu dengan 80 peratus adalah penduduk tempatan dan mereka membayar cukai pendapatan berjumlah RM51 juta,” katanya. - UTUSAN ONLINE