Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara kini diletakkan di Tahap Dua dalam senarai itu, iaitu pada kedudukan lebih rendah daripada negara sumber pemerdagangan manusia, yang sedikit sebanyak menjejaskan imej Malaysia.

Tahap lebih baik katanya, mencerahkan peluang Malaysia untuk mendapatkan pengecualian visa AS.

Video oleh DPMO

“Walaupun tangkapan telah dibuat ke atas pesalah kes pemerdagangan manusia melebihi tahun-tahun sebelumnya iaitu tahun ini sekitar 100 orang, (pihak AS) merasakan kita tidak serius kerana hanya kira-kira 30 kes yang telah dibawa ke muka pengadilan dan daripadanya 20 orang sahaja disabitkan kesalahan.

“Justeru kita menetapkan sasaran tahun depan, mungkin lebih 50 kes pendakwaan akan dibuat termasuk 10 rakyat Thailand yang diekstradisi dari negara itu berhubung kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis (awal tahun lalu),” katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum mengadakan pertemuan dengan delegasi syarikat Digital Barriers di Grosvenor House Suites di sini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.

Digital Barriers ialah syarikat peneraju pasaran peralatan dan perisian keselamatan serta risikan global.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dan dalam rangka lawatan kerja lima hari ke UK memberitahu, isu itu adalah antara yang akan disentuh dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Amber Rudd, Rabu ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, isu pemerdagangan manusia khususnya berkaitan perhambaan moden adalah masalah sejagat yang menarik perhatian beliau dan Perdana Menteri Britain, Theresa May semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata, masalah yang dihadapi oleh pihak pendakwaraya dalam menangani kes-kes sebegini adalah sukar mendapatkan saksi penting untuk hadir ke mahkamah dan ini berkaitan rapat dengan sindiket antarabangsa. – UTUSAN