Video oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

Bukan persoalan bola yang menjadi perkiraan kepada kira-kira 5,000 rakyat Selangor pelbagai kaum yang berhimpun se­awal pukul 9 pagi itu, sebaliknya isu penderhakaan oleh ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amarah rakyat Selangor jelas terlihat apabila ada dalam kala­ngan mereka bertindak menendang dan membakar gambar Zaid selain turut menjadikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menghina etnik Bugis sebagai sasaran kecaman.

Ironinya ketika kerajaan ne­geri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membisu dalam soal itu, perhimpunan yang menjadi manifestasi kepada suara rakyat Selangor dalam menjunjung daulat baginda digerakkan oleh Barisan Nasional (BN) Selangor.

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Noh Omar ketika berucap pada perhimpunan tersebut berkata, tindakan Mohamed Azmin yang membisu meskipun Sultan Sharafuddin dihina jelas menunjukkan betapa Menteri Besar itu hanya menjadi boneka kepada Pakatan Harapan diketuai DAP.

“Azmin jangan lupa dan ja­ngan jadi seperti kacang lupakan kulit. Lantikan beliau sebagai Menteri Besar adalah diperke­nankan Duli Tuanku. Kenapa Azmin dan kerajaan negeri berdiam diri membiarkan sultan dihina, melihat sahaja rakan-rakan Pakatan Harapan berlaku biadab dan kurang ajar kepada sultan kita?

“Sepatutnya perhimpunan ini dilakukan oleh Azmin untuk membela dan mempertahankan Sultan Selangor tetapi inilah yang terjadi dan mereka takut dengan DAP yang sebenarnya menguasai Pakatan Harapan.

“Kami rakyat Selangor dan UMNO akan mempertahankan kedaulatan sultan dan perhimpunan hari ini adalah solidariti kami dalam mempertahankan Institusi raja di Selangor,” tegasnya sambil disambut laungan ‘Daulat Tuanku’ secara bersahut-sahutan oleh peserta yang hadir.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim; Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zuhdi; Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Permatang; Datuk Sulaiman Razak; ADUN Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan; Exco Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai.

Serentak dengan perhimpu­nan itu, satu deklarasi juga dibuat menuntut empat perkara iaitu Zaid dan Dr. Mahathir perlu disiasat di bawah Akta Hasutan, kedua-duanya perlu memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin, dihalang daripada berucap dalam kawasan dan premis kerajaan negeri dan permit tidak dikeluarkan.


Video oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

Dalam pada itu, Noh membe­ritahu, deklarasi tersebut akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor pada Selasa dan bermula hari ini setiap UMNO bahagian telah diminta untuk menggerakkan solidariti bagi menjunjung daulat kepada baginda dalam setiap program mereka.

“Perhimpunan hari ini untuk kita mengingatkan jangan ada mana-mana pihak terutama DAP gunakan mana-mana ahli mereka terutama orang Melayu sebagai kuda tunggangan untuk cuba mencuit institusi raja-raja Melayu.

“Kita juga mahu polis bertindak segera, kalau Datuk Seri Jamal Md. Yunos (Pengerusi NGO-NGO Malaysia) sudah ditahan kerana mempertahankan isu ini, polis juga kena lebih adil. Ambil tindakan serupa ke atas Zaid dan Dr. Mahathir kerana laporan sudah dibuat,” katanya.