Video oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

Siasatan polis di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan pemergian Allahyarham di bilik penginapan di sebuah hotel di sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pi­haknya telah melakukan siasatan di bilik Allahyarham selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak hotel pada pukul 11 pagi memaklumkan tentang keada­annya yang tidak sedarkan diri.

“Siasatan polis men­­­dapati, pada pukul 9.30 pagi kenalan rapat mangsa ada memanggil mangsa di luar pintu bilik hotel tetapi tiada jawapan daripadanya.

“Kemudian rakan mangsa te­lah memanggil pihak hotel untuk membuka kunci bilik dan mendapati mang­sa seorang diri dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya da­lam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pa­kar perubatan kemu­diannya dipanggil un­tuk memeriksa je­nazah dan telah di­bawa ke Unit Forensik, Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat selepas disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi pekarangan unit forensik itu selepas rakan-rakan Allahyarham hadir untuk menzia­rahi jenazah sahabat mereka itu.

Turut menziarah Allahyarham ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Suryani Shuaib.

Jenazah bekas pembaca berita stesen televisyen TV3 itu kemudiannya dibawa ke Masjid Negeri pada pukul 6.30 petang untuk dimandi, dikafan dan disembah­yangkan.

Adik Allahyarham, Ida Lokman ketika ditemui di masjid itu berkata, jenazah abangnya akan dibawa balik ke Semenanjung menaiki penerbangan Malaysia Airlines (Mas) pada pukul 9.25 malam sebelum dihantar ke rumah keluarganya di Petaling Jaya tengah malam ini.

“Semua ahli keluarga dan rakan-rakan sudah berada di sana menunggu ketibaan jenazah, esok proses pengebumian akan dibuat awal pagi di Bukit Kiara,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan Allahyarham, Audra Webber berkata, berita pemergian selebriti tanah air itu amat mengejutkan dan masih sukar diterima.

“Allahyarham adalah kawan yang sangat baik dan selalu da­tang ke Sabah kerana menganggap negeri ini sebagai rumah kedua­nya,” ujarnya.