Namun bagi Kadin Hassan, 55, dia tidak mampu menyediakan semua itu dan dengan berat hati terpaksa melihat puteri kesayangannya memulakan sesi persekolahan Rabu ini dengan pakaian seragam lama.

Penoreh getah dari Kampung Katong itu berkata, perbelanjaan menjelang musim baharu persekolahan anaknya yang mema­suki tingkatan lima di sekolah vokasional itu agak besar.

Katanya, dengan upah menoreh sekitar RM15 ke RM20 sehari hanya cukup untuk menampung makan minum mereka seharian sahaja, malah kadangkala tidak cukup membeli barangan ke­perluan.

“Saya bersyukur kerana anak saya memahami kesusahan keluarga dan tidak meminta dibelikan baju baharu meskipun baju sekolah lama kelihatan agak lusuh.

“Kadangkala saya rasa kasihan dan bimbang anak saya malu kepada rakan-rakan apabila memakai baju lama itu.

“Tetapi dalam keadaan sekarang, kami memang tidak mampu. Dengan pendapatan yang tidak menentu ini, harga barangan pula semakin mahal,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, dia turut berharap kerajaan mempertimbangkan untuk memberi bantuan musim tengkujuh sebanyak RM600 itu kepada penoreh yang mengambil upah.

Katanya, penerima yang bakal menerima bantuan tersebut bermula bulan depan hanya terdiri daripada mereka yang mempu­nyai kebun sendiri.

Dalam masa sama, dia juga berharap dapat menerima bantuan persekolahan.

“Mungkin dengan bantuan persekolahan itu dapat meri­ngankan beban kami. Walaupun hanya sepasang baju sekolah, namun cukup-cukup bermakna buat kami,” katanya.