Katanya, idea untuk mengusahakan lemang periuk kera bermula apabila kakaknya menyediakan hidangan unik itu pada tahun 2015.

Pertama kali merasa hidangan tersebut, dia terus ‘jatuh cinta’ dengan rasanya yang cukup lemak dan manis, bermula dari situlah Mimi nekad untuk menghasilkan lemang periuk kera hasil air tangannya sendiri.

Kata Mimi, untuk permulaan dia hanya memberi jiran-jiran terdekat dan rakan sekerjanya untuk merasa lemang periuk kera yang dimasak, bertitik tolak daripada itu mereka memberi cadangan kepada Mimi untuk mengkomersialkan lemang periuk keranya kerana rasanya yang cukup enak.

Sehingga kini, katanya, setiap hari biarpun bukan pada musim hari raya, pasti ada orang yang akan membuat tempahan lemang periuk keranya.

“Permintaan lemang periuk kera memang tinggi, walaupun hari biasa setiap minggu pasti ada yang membuat tempahan. Lebih 30 kilogram (kg) pulut digunakan untuk membuat lemang tersebut.

“Tapi untuk raya, saya guna lebih 50kg pulut iaitu lebih kurang 2,000 lebih lemang periuk kera. Itupun saya dah tutup tempahan, kalau tidak sehingga hari raya masih ada yang minta saya buat,” ujarnya ketika ditemui Utusan Online di kediaman arwah kakaknya, Azizah Mahmud di sini, baru-baru ini.

Mimi berkata, selain lemang periuk kera, dia turut menjual rendang ayam dan daging, dan dijual mengikut set iaitu RM25 bagi rendang ayam dan RM30 rendang daging termasuk lemang periuk kera.

Ditanya mengenai nama Lemang Periuk Kera 4 Beradik, Mimi berkata, sebenarnya lemang itu turut diusahakan tiga kakaknya iaitu Hasiah, 55, di Cameron Highlands; Azizah, 49, di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur dan Azimah, 47, di Kajang, Selangor.

Bagaimanapun katanya, ketika ini yang aktif hanya dia dan Hasiah memandangkan kakaknya, Azizah baru sahaja meninggal dunia April lalu manakala Azimah agak sibuk dengan kerjayanya.

Mimi berkata, dia turut mempunyai ejen di seluruh negara iaitu Idris Riss di Manjung; Ct Nageena di Perlis; Syazana Jaafar di Kuala Kangsar; Siti Wahidah di Taiping; Azian Buaian Kuntum di Seremban dan Shahrul Fikry di Putrajaya.

Bagi mendapatkan nombor telefon ejen-ejen tersebut, orang ramai boleh mendapatkannya di Facebook Mimi Mahmud.

Manakala, bagi mereka yang ingin menempah lemang periuk kera terus daripada Mimi, boleh hubungi beliau di talian 019-5672774 dan tempahan akan diterima seminggu selepas Aidilfitri. - UTUSAN ONLINE

Video oleh MOHD. FIKRI FADZIL